KUALA LUMPUR – Pasaran getah Malaysia dijangka meneruskan penurunan pada minggu hadapan berikutan ketidaktentuan ekonomi global akan menjejaskan permintaan terhadap komoditi tersebut.
Bekas Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low berkata, wujud kebimbangan mengenai kekurangan makanan dan musim sejuk dalam keadaan konflik yang sedang berlaku di Ukraine dan sekatan yang melemahkan dan menjejaskan negara-negara lain.
Harga minyak dan gas asli kekal tinggi dan memberi kesan buruk kepada proses pemulihan global pasca pandemik, manakala perdagangan dan permintaan getah akan terkesan berikutan kos pengeluaran dan buruh meningkat, manakala permintaan masih lembap.
“Kami percaya pasaran akan kekal dalam jajaran kecil dengan kecenderungan kepada penurunan.
“Aktiviti menambah semula stok akan kekal bagi getah kering, manakala bagi susu getah pukal, permintaannya amat terjejas dengan penggunaan dan keperluan sarung tangan getah yang tidak memberangsangkan,” katanya kepada Bernama.
Difahamkan permintaan terhadap sarung tangan getah telah merosot mendadak dengan pengeluar hanya beroperasi pada kapasiti kira-kira 50 peratus.
Sementara itu, seorang lagi peniaga berkata harga di pasaran tempatan dijangka menjejaki pasaran niaga hadapan getah serantau, pergerakan ringgit berbanding dolar AS dan penanda aras harga minyak mentah ketika risiko kemelesetan global susulan kenaikan kadar yang agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).
Posting Komentar untuk "Ketidaktentuan pasaran jejas pasaran getah minggu depan"